Category: Penyakit & Penawar

Hilang deria bau

Hilang deria bau

CUACA sejuk ekstrem yang dialami kira-kira dua tahun lalu menyebabkan Diana Appleyard yang berusia lewat 40-an hilang deria bau.

Namun, beliau bertuah kerana derita itu hanya dilalui selama dua tahun sebelum dia dapat menikmati semula bau masakan ayam belanda kegemarannya.

Menceritakan kepada wartawan akhbar Daily Mail, Diana berkata pada mula-mula hidungnya berair, kedua-dua mata bertukar merah selain batuk tidak henti-henti semasa musim sejuk di Britain.

Bagaimanapun, kesemua gejala penyakit itu hilang beberapa hari kemudian namun perkara pelik pula berlaku iaitu dia hilang upaya untuk menghidu.

“Saya tidak dapat makan makanan kegemaran malah mencium bau badan sendiri,” katanya.

Diana mengambil inisiatif berjumpa dengan Dr. Glenis Scadding, seorang pakar hidung di Hospital Telinga, Hidung dan Tekak Diraja di London.

Glenis khuatir penyakit yang dihadapi Diana disebabkan oleh sinus, alahan atau alergi. Selepas beberapa ujian, wanita itu sebenarnya didapati menghidap parosmia.

Resdung

Mujurlah penyakit itu boleh diubati dengan menyembur air garam ke dalam hidungnya. Selain itu, Diana dinasihatkan menghidu bau kopi serta herba yang kuat bagi merangsang deria baunya.

Hidung manusia mengandungi banyak reseptor sensori yang berperanan mengesan bau. Reseptor ini akan diaktifkan apabila terdapat rangsangan yang dibawa oleh udara yang disedut.

Impuls elektrik ini akan terus bersambung sehingga ke bahagian otak bagi mentafsirkan dan menterjemahkan apakah jenis bau yang dihidu.

Jadi apa puncanya seseorang boleh mengalami penyakit hilang deria bau?

Pensyarah Kanan dan Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad memberitahu, anosmia, hiposmia dan parosmia ialah tiga keabnormalan deria bau yang kerap berlaku kepada seseorang.

Katanya, anosmia ialah hilang deria bau secara total. Hiposmia pula, seseorang masih boleh menghidu tetapi berdasarkan sumber bau yang kuat seperti durian.

“Parosmia pula persepsi bau yang lain daripada sumber sebenar, iaitu seseorang menghidu sesuatu yang majoriti orang lain tidak mempunyai persepsi sedemikian.

“Ia disebabkan oleh masalah olfaktori iaitu saraf kranial (saraf berhubung hidung dengan otak) yang bertanggungjawab mengesan deria bau,” ujarnya kepada Jurnal.

Jelasnya lagi, deria bau boleh hilang disebabkan hidung tersumbat. Kemalangan yang melibatkan bahagian hidung, tulang pipi dan bahagian tengah muka juga boleh menjejaskan deria bau.

“Kemalangan menyebabkan kerosakan struktur dalam hidung seperti bengkok tulang septum (tulang tengah hidung) ataupun saraf olfaktori (mengesan bau).

“Ia boleh bersifat sementara atau kekal selamanya jika jenis dan tahap kecederaan serius kepada bahagian badan tersebut,” ujarnya.

Irfan menjelaskan, ketumbuhan di hidung juga boleh menyebabkan deria bau hilang. Deria bau juga boleh hilang disebabkan alahan pada makanan, hama, habuk rumah, bulu haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing serta serangga perosak seperti lipas.

Pendedahan secara melampau terhadap haiwan dan serangga tersebut boleh menyebabkan resdung. Di Malaysia, hama, habuk rumah, bulu kucing dan anjing serta makanan antara punca utama yang dikenal pasti.

Ubat titis

Jelas Irfan , sekiranya alahan ini tidak diurus dengan baik, maka jangkitan rongga sinus (penyakit hidung-sinusitis) mudah berlaku.

Sinutisis ialah jangkitan kuman pada rongga sinus yang terdapat di bahagian tulang pipi, tulang dahi dan sekitar tulang hidung. Ia menyebabkan hidung tersumbat, berair dan akhirnya hilang deria bau tidak dapat dielakkan.

“Ramai orang menganggap sinus atau resdung disebabkan oleh makanan tetapi sebenarnya tidak.

“Mungkin kepada individu tertentu makanan punca alahan dan sinus tetapi tidak pada orang lain,” ujarnya.

Sinustisis dikenali umum sebagai penyakit resdung. Terdapat pelbagai rawatan yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah hilang deria bau.

Kata Irfan, salah satu daripada kaedahnya ialah menjalani ujian bau untuk mengetahui tahap keseriusan masalah deria bau seseorang.

Ujian itu bersifat subjektif dengan meminta pesakit memberitahu sama ada dia dapat menghidu sumber bau tertentu.

“Ia bersifat mudah dan tidak menyakitkan selain membuktikan adakah aduan hilang bau itu wujud untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Rawatan lain yang dapat dipraktik ialah diagnosis sebenar punca penyakit mengikut sejarah pesakit termasuk sejarah kemalangan, masalah alahan pada diri dan keluarga, serta sakit tulang pipi, dahi dan dalam hidung.

“Pemeriksaan hidung menggunakan endoskop (alat untuk memeriksa bahagian dalam organ yang berongga) dapat melihat masalah hidung dengan jelas melalui monitor.

“Bagi sesetengah pesakit, imbasan berkomputer atau Imbasan Resonan Magnetik (MRI) lebih berkesan,” katanya.

Pendarahan yang melampau pada hidung juga boleh menyebabkan seseorang hilang deria bau.

Masalah hilang deria bau boleh dirawat menggunakan ubat titis atau semburan ke dalam hidung.

Kata Irfan, ada pesakit yang diberi ubat tablet untuk mengurangkan keradangan hidung. Jangkitan sinus pula memerlukan antibiotik.

“Dalam kes terpencil dan dianggap serius, pembedahan dilakukan bagi membaiki struktur hidung dan mengatasi masalah yang dihadapi,” ujarnya yang menjelaskan, hilang deria bau bukannya satu penyakit yang serius dan ia boleh dirawat.

Incoming search terms:

« Previous PageNext Page »